CABARAN
DAN HALATUJU BELIA ISLAM
DI ERA
GLOBALISASI
Disediakan oleh:
Hj. Mohd Nazri Chik
1.0
PENDAHULUAN
Firman
Allah SWT yang bermaksud:
“Kami menceritakan kepada kamu
kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda
yang beriman kepada Tuhan mereka, lalu kami tambahkan kepada mereka petunjuk.
Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka
berkata: Tuhan kami adalah Tuhan langit-langit dan bumi; kami sekali-kali tidak
menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan
perkataan yang amat jauh dari kebenaran."
(Surah al-Kahfi: Ayat 13-14)
Persoalan
pemerkasaan belia Islam (syabab al-Islam)
dalam era yang mencabar ini adalah satu fokus penting ke arah membina khayra
ummah (umat terbaik) selaras dengan firman Allah SWT:
“Kamu adalah umat yang terbaik
yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari
yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah
itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan
mereka adalah orang-orang yang fasik."
(Surah Ali ‘Imran: Ayat 110)
2.0
BELIA ISLAM MASA DEPAN UMMAH
Pemikir dan ‘ulama Islam
kontemporari, Professor Dr. Yusuf al-Qaradawi
telah menyatakan bahawa belia adalah mutiara yang amat berharga kepada sesebuah
negara. Kekayaan Mesir bukan pada minyaknya, bukan pada kapasnya; tetapi
kekayaan Mesir terletak pada belianya. Demikian juga, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali menyebutkan jika mahu melihat masa
depan sesebuah negara, maka lihatlah keadaan anak muda hari ini. Maka tidak
hairan jika Sukarno berkata jika mahu melihat dirinya menggegar dunia, maka
berikan kepadanya 10 orang pemuda. Tetapi, persoalannya belia yang bagaimana
yang ada keupayaan besar sedemikian rupa? Oleh itu, belia perlu diberi
pengarahan yang bijaksana supaya mereka dapat mendepani cabaran zaman dengan
jayanya.
3.0
CABARAN BELIA ISLAM DALAM ERA GLOBALISASI
Cabaran belia Islam dalam era
globalisasi ini boleh dikategorikan kepada dua iaitu cabaran luaran dan cabaran
dalaman.
3.1
CABARAN LUARAN
(i)
Cabaran Globalisasi (al-‘Aulamah)
Itu Sendiri
Globalisasi adalah satu hakikat yang perlu ditempuh pada masakini.
Globalisasi menyebabkan manusia mendapat maklumat dengan cepat dan pantas (information
age) sehingga apa yang berlaku di Barat dengan cepat memberi kesan kepada
bahagian-bahagian bumi yang lain. Kesejagatan ini menjadi faktor utama merubah
kehidupan, rentak dan daya gerakan serantau dan antarabangsa serta tindakan
ekonomi, politik dan sosial.
Oleh itu, ada dikalangan sarjana yang menyifatkan
globalisasi sebagai satu bentuk hegemoni atau penjajahan bentuk baru (Neo-Colonialisme).
Dalam erti kata lain, negara maju (first
world) akan menguasai dunia ketiga (third
world) melalui penguasaan ilmu, maklumat, teknologi, budaya, ekonomi dan
politik. Ada yang menyamakan globalisasi dengan Amerikanisasi iaitu menyebar dan
mensosialisasikan keperibadian Amerika ke atas dunia seluruhnya, tidak
terkecuali keatas belia Islam.
Al-Qaradawi dalam bukunya Al-Muslimun wa al-‘Aulamah (Muslimun dan Globalisasi) menyebutkan
bahawa globalisasi adalah penjajahan lama yang tampil dalam busana dan nama baru.
Globalisasi kebudayaan memberi pengaruh paling besar menjadikan umat Islam
sebagai umat “konsumer” iaitu mengguna, membeli dan memakai produk kapitalis
Barat. Manusia berlumba-lumba untuk mencapai cita gaya hidup mewah sehingga
menjadikan mereka manusia yang kehilangan status sebagai makhluk yang berakal
dan beradab. Segala-galanya secara rakus dieksploitasikan semahu-mahunya tanpa
menghormati nilai-nilai kequdusan aqidah, akhlak dan Syariah Islam.
Jelas al-Qaradawi lagi, umat Islam dapat menentang
globalisasi yang negatif hanya dengan kekuatan iman, akhlak dan syariah.
Arus globalisasi kebudayaan dapat dibendung dengan mengukuhkan pegangan kepada
warisan kebudayaan Islam dan berterusan di atas jalan yang lurus (al-tariqah
al-mustaqimah). Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq dalam bukunya al-Islam
fi ‘Asr al-‘Aulamah (Islam Dalam Era Globalisasi) juga menyatakan maksud
yang sama.
Dalam konteks dakwah, belia Islam sebagai agen
penyampai mesej Islam perlu berfikiran jauh dan berjiwa besar. Krisis keyakinan
diri dan sindrom “belum bersedia“ perlu diatasi dengan segera. Berjiwa besar
dan berfikiran jauh telah memunculkan tokoh-tokoh dalam catatan sirah seperti
Mus’ab bin ‘Umayr yang dalam usia 24 tahun menjadi utusan pengajar (muqri’)
ke Madinah sebelum Hijrah, Ja’far bin Abi Talib dalam usia 20 tahun mengetuai
rombongan hijrah pertama ke Habsyah dan seorang wakil gabenor yang dalam usianya
10 tahun dengan berani berkata di hadapan Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz:
“… jika umurlah dijadikan ukuran wahai Amir al-Mu’minin, maka
tidaklah engkau layak kerana tempat itu milik orang yang pastinya lebih tua
daripada kamu.” Maka, cabaran globalisasi sudah tentu memerlukan persiapan
yang bukan sedikit dalam mendepaninya.
(ii)
Kecelaruan Fahaman-fahaman Moden Yang Asing
Belia
Islam pada masa kini juga menghadapi cabaran besar daripada kelahiran pelbagai
aliran seperti post-modernisme, Western
Human Rights, gerakan emansipasi/ pembebasan wanita, Islam liberal, black
metals, JIT (Jangan Ikut Tuhan) dan lain-lain. Gerakan-gerakan ini adalah
bersifat global sehingga penulis futurist
bukan Islam, Patricia Abudenne dan John Naisbit dalam karya mereka Megatrends
2000 membayangkan bahawa manusia dalam alaf mendatang masih memerlukan
kerohanian, tetapi menolak agama yang berlembaga (Spirituality, Yes; Structured Relagion, No). Akibatnya timbul
kerohanian yang pelbagai ragam mengikut tafsiran dan olahan sendiri. Agama yang
berstruktur tidak lagi dipandang penting dalam kehidupan. Perkara ini sudah
berlaku dalam masyarakat Barat dan sedang berpindah ke dunia Islam termasuk di
Malaysia.
Malahan,
telah wujud gerakan dekonstruktif yang radikal seperti gerakan feminisme
sehingga menghasilkan feminist theology yang
berupa penolakan terhadap tradisional kitab suci yang disifatkan sebagai memihak
kepada kaum lelaki dan menekan kaum wanita. Gerakan ini juga sudah mula melanda
Malaysia dengan dikepalai oleh Sisters in Islam dan turut mendapat sokongan
sehingga ke peringkat menteri. Aburdenne dan Naisbit menyatakan hal ini dalam konteks agama Kristian:
“… Feminist reject traditional
interpretations of Bible, which, they argue, have been created and invoked by
the male power structure to keep women submissive.”
(Patricia
Aburdeen & John Naisbitt (1992), Megatrends for Women, New York, pg. 122)
(iii)
Masyarakat Yang Tidak Cakna/ Prihatin
Majoriti
generasi kini sedang dihinggap penyakit jiwa santai, jiwa hamba, individualistic
dan mati rasa sehingga menyebabkan mereka tidak lagi merasa terpanggil untuk
mempertahankan agama. Mereka lebih
seronok hidup dalam gelombang maksiat daripada memikir tentang nasib umat.
Akibatnya, kebejatan moral bertambah parah dikalangan umat Melayu-Islam.
Penagihan dadah, rogol, sumbang mahram dan lain-lain masih berlaku dengan meluas.
3.2
CABARAN DALAMAN
(i)
Lemah dan Malas Befikir (al-Da’fu wa al-Kasl fi al-Tafkir)
Tajdid al-Fikr (pembaharuan pemikiran) adalah elemen
terpenting dalam kebangkitan umat. Muhammad ‘Abduh, Syeikh Muhammad Rashid
Ridha, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al-Hadi pada awal abad ini telah
menganjurkan penyegaran semula ijtihad dan
memerangi budaya taqlid. Sejak berabad
lamanya umat Islam telah menghadapi fenomena kebekuan intelektual. Abu Hassan
‘Ali al-Nadawi mengatakan dunia intelek Islam telah hilang sejak zaman Ibnu
Khaldun iaitu tiada lagi karya setanding dengan al-Muqaddimah selepas itu. Malik bin Nabi dan Syeikh Muhammad al-Ghazali
al-Saqqa menjelaskan faktornya ialah kerana dunia Islam dihinggapi wabak lemah
dan malas berfikir.
Oleh itu, perlu dipupuk kewujudan
sebuah iklim intelektual yang kondusif dan tradisi keilmuan yang komprehensif,
seimbang dan sepadu. Pemikiran Islam tidak lahir dalam tradisi keilmuan yang
sempit; sekaligus tidak akan melahirkan ulama dan sarjana berwibawa. Tradisi
keilmuan ini perlu disepadukan dengan penerapan iman dan taqwa. Belia yang
berilmu tetapi perilakunya penuh dengan kebobrokan hanya membawa masalah kepada
zaman. Akhirnya tidak ada beza antara mereka dengan para orientalis yang punya
banyak ilmu tetapi terkutuk akhlaknya lantaran akal budinya tidak didasari
fitrah keimanan. Robert Rease mengungkapkan: “The
most worrying things in the future is criminal culture shaped by educated
people.”
(ii)
Penyakit Wahn: Cintakan Dunia
dan Takutkan Mati (Hubbu al-Dunya wa
Karahiyah al-Maut)
Rasulullah SAW dalam sabda Baginda
SAW menyebutkan majoriti umat akhir zaman tidak memiliki kualiti kerana mengikut
hawa nafsu cintakan dunia (materialistic
mentality) dan takutkan mati. Kedua-dua sifat ini telah membunuh semangat
untuk berjihad menegakkan kalimah Allah. Kerana itu penting untuk menghayati
hikmah:
“Dirikanlah negara Islam dalam diri kamu, maka ia akan tertegak diatas
bumi kamu.”
“Perbaikilah dirimu dan serukanlah orang lain.”
Yusuf
AS dapat mengekang cabaran pujuk rayu Zulaikha dengan tiga benteng iaitu:
(1)
Benteng agama iaitu iman kepada Allah.
(2)
Benteng akhlak iaitu ketidaksanggupan mengkhianati tuannya (al-‘Aziz
Qatfur) yang telah memberi sebaik-baik layanan terhadapnya.
(3)
Benteng kemaslahatan dimana Baginda melihat kerosakan dan
keaiban yang akan berlaku jika menuruti hawa nafsunya pada ketika itu.
7
orang pemuda al-Kahfi (Ashab al-Kahfi)
yang dijelaskan dalam ayat di awal kertas ini dapat menghadapi cabaran ancaman
bunuh Raja Daqyanus jika tidak menyembah berhala lantaran benteng pegangan teguh
kepada iman.
4.0
HALATUJU BELIA ISLAM DALAM ERA GLOBALISASI
4.1
Memahami Islam Dengan Kefahaman
Sebenar dan Meningkatkan Keilmuan
Kalimah ilmu
disebut sebanyak 80 kali dalam al-Quran dan dalam ratusan hadith. Dalam Sahih
al-Bukhari, Imam al-Bukhari menyusun bab ilmu selepas bab iman dan wahyu. Imam
Ahmad bin Hanbal menyatakan keperluan manusia kepada ilmu lebih besar daripada
keperluan kepada makanan dan minuman. Abu Hurairah RA mengungkapkan: “Satu
saat aku berada dalam majlis ilmu yang memahamkan aku kepada agama lebih aku
sukai daripada menghidupkan ibadat sepanjang malam.“ Berbanding dengan ibadat
sunat, amalan ilmu yang diajarkan kepada orang lain tidak akan terputus selepas
kematian selagimana manusia mengambil manfaat daripada ilmunya; sedangkan amalan
ibadat sunat akan terputus apabila seseorang itu meninggal dunia. Semua
pernyataan di atas menggambarkan kedudukan ilmu pada perspektif Islam.
Atas
asas ilmu inilah, nama tokoh-tokoh seperti Imam al-Syafie (mazhabnya menjadi
pegangan umat Islam alam Melayu), Idris al-Marbawi (kamusnya menjadi rujukan)
dan Hamka (tafsirnya dirujuk dalam pentafsiran al-Quran) tetap subur dan
diingati sepanjang zaman seolah-olah mereka masih hidup sehingga hari ini. Oleh
itu, peri pentingnya belia Islam menjadikan ilmu pengetahuan sebagai asas budaya
bangsanya. Bangsa Jepun dan Eropah maju kerana mereka mematuhi peraturan alam
dengan bekerja keras, mengkaji dan menyelidik alam tabi’i secara terus menerus
dengan keupayaan akal yang diberikan oleh Allah. Para belia perlu membina
tradisi intelektual yang kukuh dengan menggali khazanah ilmu silam dan
disepadukan dengan perkembangan ilmu semasa. Akhirnya, akan lahir belia yang
berfikir secara saintifik dan bertindak berasaskan ilmu.
4.2
Mengukuhkan Jatidiri Islam Dalam
Mendokong Cita-cita Bangsa
Sebuah bangsa akan kekal dan mencapai kegemilangan apabila mempunyai jati
diri yang tinggi. Berbicara tentang bangsa secara benar, tidaklah bermaksud asabiyyah;
kerana ia merupakan hakikat kejadian Allah. Firman Allah yang bermaksud:
"Hai sekalian manusia,
bertakwalah kepada Tuhan yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan
daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah
memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah
kepada Allah yang dengan (menggunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama
lain, dan (peliharalah) hubungan silatulrahmi. Sesungguhnya Allah selalu
mengawasi kamu."
(Surah al-Nisa’: Ayat 1)
Apatah
lagi sejarah telah membuktikan bahawa bangsa Melayu kekal sehingga hari ini
kerana dua faktor terpenting iaitu agama Islam dan bahasa Melayu. Perlembagaan
Malaysia mentakrifkan Melayu sebagai seorang yang menganut Islam, lazimnya
bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu dan keputusan Yang Arif
Hakim Datuk Faiza Tamby Chik ketika menolak permohonan murtad wanita Melayu
Azlina Jailani (Utusan Malaysia, 24 April 2001) bahawa seorang berketurunan
Melayu harus kekal dalam Islam sehingga mati membuktikan kenyataan ini.
Memperkukuhkan
jati diri bermaksud memantapkan keimanan sehingga timbul jiwa merdeka, jiwa
yang bebas dari belenggu hamba abdi sesama manusia dengan mengakui keesaan Allah
dan kekuasaan sepenuhnya milikNya. Dengan keimanan ini, belia Islam tidak
merasa naïf dan lemah untuk bersaing dengan mana-mana bangsa di dunia ini,
bahkan akan membawa mesej Rahmat untuk seluruh alam.
Allah
SWT tidak menjamin kekalnya sesuatu bangsa hanya berasaskan kepada peribumi yang
menempati tanah pusaka nenek moyang. Sudah banyak bangsa yang terusir dari tanah
air, malah ada yang telah pupus di dunia ini. Pewaris bumi ini adalah
orang-orang yang soleh, yang memiliki sejumlah sifat unggul menurut piawaian
Allah sebagaimana ketetapanNya dalam al-Quran yang bermaksud:
"Dan sungguh telah Kami tulis
di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Loh Mahfuz, bahwasanya bumi ini
dipusakai hamba-hamba-Ku yang saleh."
(Surah al-Anbiya’: Ayat 105)
Sejarah
membuktikan bahawa hakikat unggul atau hancurnya sesuatu bangsa bergantung
kepada perilaku akhlak mereka. Allah berkuasa menghancurkan mereka dengan apa
juga caranya apabila kebejatan moral sampai ke tahap puncaknya. Itulah yang
telah terjadi kepada kaum Lut, penduduk Madyan, kaum ‘Ad dan kaum Thamud.
Pembinasaan itu bukan penganiayaan Allah ke atas manusia tetapi akibat dosa-dosa
mereka sendiri dengan melakukan kekufuran, kemaksiatan dan kejahatan beerti
dengan sengaja menzalimi diri sendiri dan menempah kehancuran. Firman Allah yang
bermaksud:
"Maka masing-masing (mereka
itu) Kami siksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan
kepadanya hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang ditimpa suara keras
yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan
di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak
menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
"
(Surah al-Ankabut: Ayat 40)
"Apakah
mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi-generasi yang telah Kami
binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu), telah Kami teguhkan kedudukan
mereka di muka bumi, yaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu,
dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai
mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka karena dosa mereka
sendiri, dan kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain.
"
(Surah al-An’am: Ayat 6)
Ayat-ayat
ini memberi mesej bahawa bangsa yang akan binasa ialah bangsa yang sudah hilang
kesedaran tentang dosa yang mengakibatkan meluasnya kemungkaran.
4.3
Menerajui Gerakan Pembaharuan (Tajdid)
Gerakan tajdid
ialah gerakan untuk mengembalikan pelaksanaan Islam yang syumul
dengan segala kesederhanaan dan pandangannya yang mendalam, setelah sekian lama
umat Islam berada dalam penjajahan dengan melakukan pembaikan terhadap
kerosakan-kerosakan, meluruskan yang bengkok, menguatkan yang lemah dan
menyucikan yang kotor seterusnya menjadikan kalimah Allah sebagai kalimah
tertinggi. Peranan mujaddid adalah
mengembalikan ma’na sebenar Islam
yang diselewengkan oleh pembawa bid’ah, mematahkan
hujah dan pendapat bathil yang menjadi
pegangan orang-orang yang jahil.
Kejayaan
tajdid bertitik-tolak daripada dua faktor iaitu pertama; adanya nilai atau idea
dan kedua; adanya pelaku yang menghayati nilai dan idea tersebut. Oleh itu,
perubahan pada diri belia Islam perlu dilakukan terlebih dahulu untuk memastikan
kejayaan pembaharuan dalam masyarakat seluruhnya.
Sudah
menjadi fitrah bahawa usaha tajdid pasti
akan menghadapi tentangan; sebagaimana telah dilalui sejak risalah dakwah Nabi
Nuh AS sehingga Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan
apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah.”
Mereka menjawab: “Tidak, tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami
dapati daripada perbuatan nenek moyang kami.” (Apakah mereka akan mengikuti
juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui sesuatu apa pun dan
tidak mendapat petunjuk.”
(Surah al-Baqarah: Ayat 170)
Tajdid perlulah melibatkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira
lapisan sama ada golongan elit, kelas menengah dan bawahan serta seluruh aspek
kehidupan baik politik, ekonomi, pendidikan, sosio-budaya dan lain-lain. Para
tokoh tajdid bersepakat bahawa pendidikan
dan pembelajaran adalah satu-satunya jalan untuk melahirkan generasi yang peka
kepada fenomena sosial. Muhammad ‘Abduh menyebutkan bahawa untuk
memperoleh kemakmuran negara, maka sistem pendidikan yang mantap perlu
diusahakan. Jika perkara ini dapat diusahakan, maka segala matlamat tajdid
yang lain dapat dicapai tanpa mengeluarkan daya fikir dan tenaga yang
melelahkan. Kerana itulah Muhammad ‘Abduh telah memodenkan sistem pendidikan
di Universiti al-Azhar pada awal abad lalu sekalipun mendapat tentangan daripada
para ‘ulama al-Azhar.
Jika
secara formal melalui kuasa pemerintahan belum dapat dilakukan oleh gerakan
Islam; hakikat ini tidak menggugurkan tanggungjawabnya untuk melakukannya dalam
kemampuan yang ada. Oleh itu; usaha-usaha pentarbiyyahan umat, pembinaan
kader-kader dakwah, pendidikan politik dan turun padang ke golongan sasaran (target group) termasuklah remaja “rosak”, bukan Islam,
intelektual, professional, buruh, orang kampung, wanita, lelaki dan
segmen-segmen masyarakat perlu diteruskan. Semuanya perlu dilakukan melalui
aktiviti formal dan langsung seperti kelas pengajian, forum, seminar dan
lain-lain atau tidak formal seperti ziarah mesra, program sukan, aktiviti
kebudayaan dan lain-lain yang boleh mencapai maksud pendidikan kearah tajdid
(pembaharuan) dikalangan ummah.
5.0
PENUTUP
Pengkaji manhaj tarbiyyah Islam, Dr. ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam
bukunya Daur al-Syabab fi Haml Risalah
al-Islam (Peranan Pemuda Dalam Memikul Risalah Islam) menggariskan beberapa
aspek untuk dihayati oleh belia Islam sebagai bekalan mereka:
(1)
Setiap belia Islam mestilah
mengetahui matlamat dia diciptakan oleh Allah SWT.
(2)
Setiap belia Islam mestilah
mempunyai gambaran dan maklumat tentang strategi musuh yang setiap detik
berusaha menghancurkan Islam.
(3)
Setiap belia Islam mestilah
menaruh harapan untuk menempuh kejayaan dalam bidang dakwah dan menghindarkan
perasaan pasif dan berputus asa.
(4)
Setiap belia Islam mestilah
mengambil contoh teladan yang ditunjukkan oleh para Sahabat seperti tercatat
dalam Sirah.
(5)
Setiap belia Islam mestilah yakin
akan kelebihan para da’I dan jalan dakwah.
(6)
Setiap belia Islam mestilah
mengetahui teknik dakwah yang bijak supaya dapat memberi kesan kepada orang
lain.
(7)
Setiap belia Islam mestilah
mengetahui dengan penuh keyakinan qadha’
dan qadar Allah SWT itu hanyalah
disisiNya sahaja.
Klik di bawah untuk kembali ke menu utama