ADAB DA'WAH
Oleh:
Mohd Nazri Chik
"Serulah
kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan nasihat-nasihat yang baik-baik, dan
bertukar fikiranlah dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu lebih
mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang mengetahui siapa
yang terpimpin."
[Surah
An-Nahl:125]
Hikmah
dalam erti "mengenal golongan":
Bila
seorang pembawa da'wah sudah mengayunkan langkah, bermacam corak manusia yang
akan dijumpainya. Dia akan berhadapan dengan fahaman-fahaman dan
pegangan-pegangan tradisional yang sudah berurat dan berakar; dengan sesetengah
orang yang mahu menolak tiap-tiap apa yang baru; dengan kegigihan orang yang
ingin mempertahankan kedudukan pendapatnya, dan yang bimbang kalau-kalau apa-apa
yang hendak disampaikan itu akan merugikannya; dengan kejahilan orang yang bodoh,
yang reaksinya secara bodoh pula; dengan cerdik cendekiawan yang hanya mahu
menerima sesuatu atas dasar hujjah dan keterangan-keterangan yang "nyata";
dengan orang-orang yang sangsi disebabkan oleh bemacam pendengaran-pendengaran
atau pengetahuan-pengetahuan yang serba-serbi; dan sebagainya. Tiap-tiap jenis
itu harus dihadapi dengan cara yang sepadan dengan tingkat kecerdasan, sepadan
dengan alam fikiran dan perasaan serta tabiat masing-masing.
Ayat
Al-Qur'an yang di atas mengandungi petunjuk-petunjuk pokok bagi Rasul dan para
da'i, cara bagaimana menyampaikan da'wah kepada manusia yang berbagai jenis itu.
Yakni:
"Serulah
kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan nasihat-nasihat yang baik-baik, dan
bertukar fikiranlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik."
Syeikh
Muhammad Abduh (dalam Tafsir al-Manar, juz III) menyimpulkan dari ayat Al Qur'an
di atas, bahawa dalam garis besarnya, ummat yang dihadapi seseorang pembawa
da'wah dapat dibahagi atas tiga golongan, yang masing-masingnya harus dihadapi
dengan cara yang berbeza-beza pula:
a.
Ada
golongan cerdik-cendekiawan yang cinta kebenaran, dan dapat berfikir secara
kritical, cepat dapat menangkap erti persoalan. Mereka ini harus dipanggil
dengan "hikmah": yakni dengan alasan-alasan, dengan dalil dan hujjah
yang dapat diterima oleh kekuatan aqal mereka.
b.
Ada
golongan awam, orang kebanyakan yang belum dapat berfikir secara kritical dan
mendalam, belum dapat menangkap pengertian-pengertian yang tinggi-tinggi. Mereka
ini dipanggil dengan "mauidzatun-hasanah", dengan anjuran dan didikan
yang baik-baik, dengan ajaran-ajaran yang mudah difahami.
c.
Ada
golongan yang tingkat kecerdasannya di antara kedua golongan tersebut, belum
dapat dicapai dengan "hikmah", akan tetapi tidak akan sesuai pula bila
dilayani seperti golongan awam; mereka suka membahas sesuatu, tetapi hanya dalam
batas yang tertentu, tidak sanggup mendalam benar.Mereka ini dipanggil dengan
"mujadalah billati hiya ahsan"; yakni dengan bertukar fikiran, untuk
mendorong supaya berfikir secara sihat, dengan satu dan lainnya dengan cara yang
lebih baik.
Demikianlah
Syeikh Muhammad Abduh, kesemuanya dapat disimpulkan dalam kalimat: "Berbicaralah
kepada manusia menurut kadar aqal (kecerdasan) mereka masing-masing" Hadith
yang lengkap berbunyi:
"Kami
diperintah supaya berbicara kepada manusia menurut kadar aqal (kecerdasan)
mereka masing-masing" [Rowahu Muslim]
Ini
tidaklah bererti bahawa menghadapi golongan awam selalu akan lebih mudah
daripada menghadapi golongan cerdik-cendekiawan. Memang menghadapi
cerdik-cendekiawan itu memerlukan ilmu yang agak luas dan mendalam. Akan tetapi
seringkali mereka ini, dengan sekadar sindiran atau karenah saja sudah dapat
menangkap apa yang dimaksudkan; dengan sedikit pancingan dan dorongan untuk
berfikir, mereka dapat merintis jalan sendiri, dan akhirnya mencapai
kebenaran.Dan mereka akan terima kebenaran itu, apabila pada hujung jalan
fikiran mereka itu tidak ada pula hawa nafsu yang menabiri(membentengi) antara
mereka dengan kebenaran yang sudah kelihatan oleh mereka.
Kepada
golongan awam cukup dikemukakan bahan-bahan yang sederhana. Tak ada gunanya
membawakan pemikiran-pemikiran yang tinggi-tinggi. Akan tetapi cara, kaifat
menghidangkan sesuatu yang sulit dalam bentuk yang mudah, tidak dapat dikatakan
suatu perkara yang "mudah."
Demikianlah
pula menghadapi golongan ketiga, yang dalam pembahagian golongan, sebagaimana
yang dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Abduh itu, — letaknya "di antara"
golongan cerdik cendekiawan dan golongan awam, dan harus dihadapi dengan "mujadalah
billati hiya ahsan", tidaklah selalu akan lebih mudah daripada menghadapi
golongan pertama (cerdik pandai), dan tidak akan selalu lebih sulit daripada
golongan kedua (awam). Golongan macam manapun yang akan dihadapi,
masing-masingnya menghendaki cara yang mengandungi "kemudahan" dan
"kesulitannya" sendiri.
Pokok
persoalan bagi seseorang pembawa da'wah ialah bagaimana menentukan cara yang
tepat dan efektif dalam menghadapi suatu golongan tertentu dalam suatu keadaan
dan suasana yang tertentu.
Klik di bawah untuk kembali ke menu utama